Malaysian Anglers Network
Would you like to react to this message? Create an account in a few clicks or log in to continue.

Mengilat menggunakan gewang

3 posters

Go down

Mengilat menggunakan gewang Empty Mengilat menggunakan gewang

Post  terubuk Fri Apr 15, 2011 8:33 am

Tidak dinafikan, pancingan gewang merupakan sektor yang paling cepat berkembang dalam dunia memancing hari ini. Semuanya kerana menangkap ikan dengan gewang dinobatkan satu keseronokan yang muktamad.

Arena ini juga merupakan satu aktiviti pemburuan yang mencabar, aktif, tidak kotor, tidak berbau dan tidak perlu kerja keras (tak perlu susah payah cari umpan). Bahkan, ikan yang ditangkap selalunya tercangkuk di mulut atau bibirnya. Oleh itu, 'tangkap dan lepas' tidak memudaratkan.

Namun begitu, ramai orang masih memandangnya sebagai satu bentuk seni yang gelap dan misteri. Mereka kata, sukar beroleh kejayaan dengan menggunakan umpan tiruan ini. Saya sendiri bertemu ramai pemancing yang bertanya, "Mengapa saya tak pernah dapat ikan dengan gewang?" Justeru, artikel ini adalah untuk golongan berkenaan, dan juga sebahagian dari kita yang mahu memperbaiki hasilnya dalam arena menggewang.

Bercakap Bohong
Gewang dianggap satu bentuk penipuan oleh pemancing terhadap ikan. Semakin kuat
pembohongnya, semakin tinggilah mangsa terpedaya. Tujuan saya menulis ciri-ciri ini
adalah untuk merubah anda menjadi raja penipu ikan yang lebih handal.

Untuk menjadi penggewang yang handal, gewang anda hendaklah kelihatan dan beraksi
lebih menggoda apabila berada di dalam air. Perasaan taqk kenapa saya katakan
'menggoda', bukan tampak hidup atau realistik? Kadangkala ilmu menipu ikan supaya
menggigit gewang tidak berkaitan dengan meniru keadaan sebenar. Saya akan terangkan
hal ini.

Saya Kudung Bang!
Suatu penipuan akan dipercayai jika mengandungi beberapa elemen kebenaran dan beberapa darjah kelogikan. Pada asasnya, gewang cuma sekadar umpan tiruan atau palsu.

Kebanyakan gewang dicipta untuk meniru samar-samar akan ikan kecil, udang, ketam, sotong, serangga dan makanan lain yang berpotensi apabila ia ditarik di dalam air.

Namun banyak juga gewang yang langsung tidak menyerupai apa-apa makhluk yang melayap, berenang atau terbang, tetapi kenapa ia masih mampu memerangkap ikan? Janggut (spinnerbait) merupakan satu contoh terbaik. Kenapa ia begitu berkesan?

Takkan anda tak perasan, ikan mana ada tangan..

Tim Simpson, seorang pengusaha kedai pancing, penulis dan pemancing terkenal di Australia suatu masa dahulu, merupakan orang pertama mengutarakan hal ini kepada saya dan menerangkan kaitannya terhadap proses pancingan. Lebih suku abad telah berlalu, tetapi saya tidak lupa perbualan saya dengannya dan betapa bermaknanya kata-kata beliau terhadap kerier memancing saya.

Cuba fikirkan. Selalunya kita mengambil sesuatu benda atau menyentuhnya dengan tangan kita bagi mengetahuinya dengan lebih lanjut. Saya memanggil perbuatan ini dengan terma 'sindrom cat basah'.

Cuba anda gantung penanda 'cat basah' pada sebarang objek dan perhati berapa ramaikah orang yang berjalan melepasinya akan cuba menyentuh permukaan objek tersebut. Kemudian mereka akan membelek jarinya sekadar untuk mengesahkan betulkah cat itu basah! Rasanya kita pun macam itu juga, kan?.

Sebagai perbandingan, jika ikan ingin mengambil tahu tentang sesuatu objek yang menarik, ia akan mengambilnya dengan mulut dan merasanya (ingat, ikan tiada tangan). Mungkin 9 dari 10 kali, ikan itu akan meluahkannya semula setelah mengetahui ianya bukan makanan, sebaliknya puntung rokok, batu kerikil, kertas aluminium atau daun gugur. Jika objek tersebut bermata kail dan terikat pada tali pancing kita, sudah tentu kita akan dapat menangkap ikan tersebut.

Ini merupakan satu pengajaran yang penting. Kita perlu maklum dan sentiasa ingat : Ikan meneroka dunianya dengan mulut, dan tidak semua yang dicekup oleh mulutnya akan ditelan. Sebagai pemancing, kita boleh mencuri banyak kesempatan dari tabiatnya itu.

Buat Padanan
Sememangnya ikan bersindrom cat basah iaitu kadangkala merasa sesuatu benda asing dengan mulutnya. Namun, kita boleh meningkatkan peluang mengumpannya dengan sekurang-kurangnya meniru makanan asli dari segi aspek am seperti bentuk, saiz, warna dan aksi bahan makanan ini.

Pemancing layang mempunyai terminologi tersendiri bagi menyatakan proses meniru makanan semulajadi ini apabila memilih bulu layang. Mereka memanggilnya 'matching the hatch'. Ini merujuk kepada serangga yang mengerumun atau menetas, yang mana cukup penting kepada pemancing trout. Tetapi konsep ini juga sesuai untuk penggewang siakap mahupun pemancing laut dalam yang ingin menunda ikan mersuji.

Apabila trout galak memakan hanya satu jenis serangga (katakan mayfly), pemikiran mereka
seakan sempit dan selalunya enggan melahap benda lain. Banyak lagi ikan yang mempamerkan kelakuan yang sama. Mungkin kerana otak ikan terlalu ringkas, jadi mereka sebenarnya tidak boleh melihat atau memahami benda-benda lain di sebalik bahan yang mereka makan. Manalah tahu?.

Walau apa proses pun yang sebenarnya terbabit, jika anda mengesyaki ikan buruan anda hanya tertumpu kepada sesuatu sumber makanan tertentu, anda tentu gila jika tidak dapat memadankannya!. Justeru, perlu ditekankan betapa baiknya jika kita mematuhi falsafah ini.

Cuba fikirkan perkara ini. Jika anda berjaya memadankan bentuk dan pergerakan gewang sama seperti ikan seluang, kemudian letakkan gewang anda dalam 10,000 kawanan ikan seluang itu, maka hanya terdapat 1 dari 10,000 peluang untuk gewang anda menjadi makanan pemangsa seterusnya!.

Tetapi jika anda meniru pergerakan seluang cedera atau sakit dan letakkannya diluar kawanan itu seperti individu sesat, saya pasti anda akan dapat habuannya!

Cetus Tindak Balas Serangan
Majoriti kejayaan dalam pancingan gewang berkait dengan pencedokan beberapa aspek penting pada ikan mangsaan yang ditiru, menokok-nambah dan meletakkannya di luar kawanan ikan. Dapatkan formula ini dengan betul dan anda gerenti akan dikejutkan dengan sambaran!.

Perbuatan menokok-nambah ciri-ciri ini dikenali sebagai 'pencetus tindak balas serangan'. Ia menguja atau memberangkan pemangsa atau ikan yang bersifat kewilayahan dan memcabarnya untuk menggigit, bedal, bunuh, hentam atau menghalau benda yang mengusiknya.

'Pencetus tindak balas serangan' mungkin wujud pada bintik merah di badan gewang untuk memikat truot, bunyi 'kepoh' popper untuk disentap GT ataupun bulu layang yang gemerlapan dan bermata buntang untuk ikan aya.

Ia mungkin sesuatu benda yang tidak dapat kita lihat, fahami atau bayangkan, seperti penanda ultra ungu pada warna tertentu dalam jarak gelombang cahaya yang tertentu, atau denyutan sub-sonik pada goyangan gewang yang sampai pada garis deria pemangsa.

Apapun kesnya, pencetus tindak balas serangan adalah kandungan istimewa yang boleh melonjak gewang sebagai juara pada hari tertentu. Pemancing yang sentiasa peka, cukup cekap mengenal pasti kriteria ini, mereka seringkali memanipulasi dan menambah godaannya.

Pada asasnya, cetusan tersebut terdiri dari satu atau lebih dari kategori berikut iaitu saiz, aksi, kelajuan, warna, corak, bunyi (getaran), bau (rasa) dan kedalaman renangan atau persembahan. Dapatkan lebih dari beberapa cetusan ini dengan betul untuk ikan yang anda buru, kemudian suakan supaya ikan boleh melihat atau mengesannya. Secara praktikalnya, anda dijamin sukses.

Laju, Kilau & Percik
Sesetengah gewang amat bergantung kepada kelajuannya, kilauannya serta ekor buih untuk membentuk satu ilusi hidupan serta memikat perhatian ikan pemangsa. Mungkin gewang yang paling ketara mewakili illusi ini ialah skirt tundaan.

Jika dilihat dari bawah, skirt tundaan menghasilkan ekor buih yang panjang. Mersuji dan ikan pemangsa lain suka menyerang objek yang menerajui ekor buih ini. Mungkin mereka salah anggap ia sebagai makhluk ketakutan atau cedera yang bercempera di permukaan.

Gewang logam berkelajuan tinggi juga bergantung kepada kombinasi laju, kilau dan percikan (apabila ia timbul ke permukaan) yang sama. Ia menarik perhatian dan menguja pemangsa melalui peniruan ikan mangsaan yang lari bertempiaran. Ini juga berlaku pada popper pensil.

Pada amnya, gewang berkelajuan tinggi ini kurang mempunyai aksi dalaman (bergoyang dengan sedikit). Gewang logam atau bukan logam yang ingin dipersembahkan secara perlahan (seperti kilat sesudu atau gewang replika ikan) mempunyai aksi goyangan dan gelekan yang lebih tinggi.

Perlahan & Realistik
Gewang yang ingin dipersembahkan secara perlahan biasanya kurang bergantung kepada kelajuan, kilauan dan percikan. Sebaliknya lebih kepada bentuk, saiz, warna dan aksi untuk memikat pemangsa berpotensi. Syaratnya, semakin perlahan gewang dikarau, lebih banyak masa diberi untuk ikan berpeluang melihatnya, dan semakin tinggilah peluang untuk 'menghidupkannya' (atau sekurang-kurangnya menggoda).

Contoh terbaik dari prinsip ini ialah melalui persembahan soft plastic (SP) berbentuk cacing, ulat atau udang kara yang diseret, dirangkak dan dihenjut di dasar atau kolum air. Setiap ikan yang terpikat dengan kehadiran atau pergerakan gewang lembut ini akan ada banyak masa untuk memeriksanya dengan teliti, sebelum membuat keputusan untuk menyentuh 'cat basah'... jadi penipuan perlulah meyakinkan!

Syukurlah kerana kebanyakan SP sekarang memang sangat meyakinkan, sekurang-kurangnya untuk memperdaya minda ikan yang ringkas. Menyapu perisa pada badan gewang juga boleh menambah godaan ini.

Kita gunakan skirt tundaan dan SP untk menipu ikan, tetapi famili gewang yang paling besar dan beraneka adalah gewang replika ikan yang berlidah / berbibir (bibbed / lipped plugs). Gewang berlidah bergantung kepada kombinasi bantuk badan dan lidah selamannya itu untuk membentuk aksi apabila ditarik dalam air.

Biasanya kelajuan ia ditarik dalam air adalah sekitar 1 hingga setinggi 10 knot. Tetapi selalunya dalam julat 2-6 knot. Bagaimanapun saya ingatkan sekali lagi bahawa semakin perlahan mereka bergerak, semakin tinggilah tahap keyakinan yang diperlukan.

Aksi & Apungan
Perkara yang jarang disebut apabila membincangkan tentang aksi gewang berlidah ialah kepentingan sifat apungannya. Pada umumnya, gewang replika ikan jenis terapung / selaman mempunyai aksi yang lebih kuat dan jelas berbanding gewang tenggelam.

Ini disebabkan oleh daya tentangan antara apungan positif gewang jenis terapung dan dorongan selam pada lidahnya yang membentuk ketidak-stabilan terkawal. Oleh sebab itulah gewang bergelek dengan kencang.

Aspek lain ialah gewang berbibir jenis terapung / selaman biasanya mengekalkan aksinya pada kelajuan yang lebih rendah, berbanding gewang berbibir jenis tenggelam. Perkara ini perlu diingati, terutama apabila kita pergi ke tajuk penting yang seterusnya...

Duduk Diam
Pergerakan dan aksi merupakan kriteria yang penting dan kritikal untuk keberkesanan setiap gewang. Tetapi perasankah anda bagaimana penggewang yang mahir kerap mempelbagai kelajuan gewangnya dan kadangkala membuat beberapa kali aksi henti dan pegun.

Untuk skirt tundaan di laut, aksi ini berlaku semasa bot berpusing atau menukar arah. Bagi penunda siakap, tangan yang memegang joran kadangkala membuat gerak sentap supaya gewang meluru ke depan dan terhenti seketika. Bagi penggewang ikan bream (kuku), mereka juga kerap menghenjut gewang kerdil dan berhenti supaya gewang mengampai, tenggelam atau timbul perlahan-lahan. Kepada kaki SP mereka akan mengangkat dan menjatuhkan gewang plastik itu bagi meniru gaya ikan mangsaan yang kesakitan.

Bagi setiap contoh tersebut, halaju gewang yang tetap tiba-tiba berubah dari cepat kepada perlahan atau berhenti mendadak, dan ada ketikanya tidak bergerak langsung. Tetapi seringkali pada ketika inilah sambaran berlaku. Perubahan tersebut sebenarnya boleh mencetuskan naluri pemangsa untuk menangkapnya.

Cuba anda perhatikan perilaku ikan kecil di dalam akuarium. Apabila mereka berhenti berenang, mereka jarang timbul ke permukaan seperti gabus atau tenggelam seperti batu ladung. Kerapkali mereka seakan tergantung atau meluncur perlahan ke arah yang ingin dituju.

Sebab itulah kenapa gewang jenis terampai (suspending) atau berkeapungan neutral berupaya menjadi gewang yang sangat membunuh jika kita pandai memainkannya (teknik stop & go).

Namun maksud saya tadi bukanlah bererti gewang jenis tenggelam atau timbul tidak bagus langsung. Ikan mangsaan yang sakit, cedera atau baru sahaja dilanyak ikan bergigi tajam seperti tenggiri selalunya berputaran jatuh ke dasar (seperti kilat sesudu yang tenggelam) atau mengapung perlahan ke permukaan (seperti gewang replika ikan jenis terapung). Aksi ini juga mampu mencetuskan tindak balas serangan pemangsa.

Merangsang Cetusan
Sesungguhnya tidak mustahil untuk kita 'menghidupkan' setiap pencetus tindak balas yang telah kita bincangkan dengan mengubah suai gewang, supaya sesuai dengan keadaan terdesak.

Anda boleh gunakan kekili putaran laju atau menekan minyak untuk menambah kelajuan gewang, menampal pelekat berkilat untuk menokok kilauannya, menggunakan pen marker atau cat untuk mengubah suai warnanya, meletak pemberat untuk melaras keapungannya, menggunakan tali atau perambut halus atau tebal untk melaras kedalamanan renangannya mahupun kadar tenggelam atau timbulnya, menyapu perisa untuk menghilangkan bau anda dan menggoda deria pemangsa, atau memainkan joran dan keklili untuk membuat aksi henti atau merubah haluan gewang.

Penggewang harus pintar memanipulasi semua teknik untuk memperbaiki hasil gewangnya.
Tetapi pemancing yang gagal sekadar mengambil gewang keluar dari peketnya, ikat, baling dan karau balik atau heret di belakang bot bagi mengharapkan si ikan bodoh akan datang membedalnya. Malangnya kebanyakannya ikan bodoh ini sudah lama ditangkap terlebih dahulu!

Saya boleh menulis sebuah buku berkaitan teknik-teknik merangsang gewang ini. Tetapi saya harap apa yang disampaikan secara ringkas ini sekurang-kurangnya dapat membuatkan anda terfikir bagaimana hendak memperbaiki pancingan gewang anda.

Ini kerana perkakas yang paling penting dalam semua kejayaan menggewang bukanlah gewang paling unggul, kekili paling canggih atau joran grafit yang paling sensetif... tetapi organ pemikir dalam kepala anda!. Gunalah akal sebaik-baiknya.

Sumber : Steve Starling (MODERN FISHING)



terubuk
terubuk
Major
Major

Posts : 64
Join date : 14/04/2011
Location : Land of the Hornbill

Back to top Go down

Mengilat menggunakan gewang Empty Re: Mengilat menggunakan gewang

Post  RooSTa_CaSTeR Fri Apr 15, 2011 4:11 pm

buk,
nice info and reading materials...
cuma aku hairan camana diaorang lantik zig jd mod kaedah mengilat ni...
yg aku tau di tu mengelat pandai la... Twisted Evil Very Happy Very Happy
RooSTa_CaSTeR
RooSTa_CaSTeR
Major
Major

Posts : 31
Join date : 14/04/2011
Age : 58
Location : KePaLa BaTaS SBG PRai uTaRa

Back to top Go down

Mengilat menggunakan gewang Empty Re: Mengilat menggunakan gewang

Post  KillerBite Fri Apr 15, 2011 4:28 pm

pasai kepala dia kilat....... Shocked
KillerBite
KillerBite
Colonel
Colonel

Posts : 10
Join date : 14/04/2011
Location : Downtown Compton

Back to top Go down

Mengilat menggunakan gewang Empty Re: Mengilat menggunakan gewang

Post  Sponsored content


Sponsored content


Back to top Go down

Back to top

- Similar topics

 
Permissions in this forum:
You cannot reply to topics in this forum